Wednesday, 28 March 2012

apabila hati gelisah


Kadang-kadang, ragam dunia membuatkan dada kita lemas dan terasa sesak walaupun pada hakikatnya, kita masih bernafas. Kadang-kadang, ragam manusia sekeliling kita menjadikan kita rimas oleh desakan-desakan yang menyuruh kita melalaikan diri dan menjauh dari Yang Maha Esa. Kadang-kadang, suasana dunia sering memerangkap dan memenjara nurani kita yang berfitrahkan kebaikan bertukar kepada keburukan dan kejahatan.
Kadang-kadang, ragam alam maya menjadikan kita mangsa tipu daya untuk kita mempercayai apa-apa saja sumber yang berjaya dikorek, direka serta ditokok tambah di alam penuh global ini. Jahilnya kita! Zalimnya kita!
Kadang-kadang, kehidupan menjadikan kita lebih kuat dan luar biasa untuk terus berjuang hadapi hidup di masa hadapan. Kadang-kadang, kehidupan yang sama ini juga menjatuhkan semangat kita dan menghalakan jiwa kita ke arah untuk berputus asa. Lemahnya kita! Lembiknya kita!
Bila ujian dan dugaan bertandang, jiwa mula resah. Hati pula sibuk rasa gelisah. Diri juga semakin menggelabah. Kenapa ya? Lupakah kita pada Allah?? Lupakah kita pada ganjaran Jannah?? Lupakah kita pada erti sebuah tabah?? Lupakah kita bahawa ketenangan itu ada pada Allah??
“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Surah Al-Ra’d : 28)
Bila kita ditimpa ujian demi ujian yang bertali arus, diri mula terasa lemas. Ingin berputus asa dari bergantung harap pada-Nya. Rasa ingin mati secepat yang mungkin walaupun amalan tak setinggi gunung. Kenapa mesti rasa begitu ya? Lupakah kita bahawa Allah itu sentiasa ada bersama kita?? Lupakah kita bahawa Allah terlalu sayangkan kita??
Sa’ad bin Abi Waqqas berkata : “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w. ; ‘Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berat ujian dan cubaannya?’ Nabi s.a.w. menjawab ; ‘Para Nabi, kemudian yang meniru (menyerupai) mereka. Seseorang diuji mengikut kadar agamanya. Kalau agamanya nipis (lemah) dia diuji sesuai dengan itu (ringan) dan apabila imannya kukuh diuji sesuai dengan itu (keras). Seseorang diuji terus-menerus sehingga dia berjalan di muka bumi, bersih daripada dosa-dosa.’” (Riwayat Bukhari)
Bila insan kecintaan kita seperti ibu bapa, suami isteri, anak-anak, sahabat dan para guru pergi meninggalkan kita untuk selama-lamanya, kita terus dibelenggu sedih. Kecewa berpanjangan dan muram terhadap setiap keadaan. Kenapa begitu ya? Lupakah kita pada ujian Nabi terdahulu yang lebih dahsyat lagi dugaannya?? Lupakah kita bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati?? Lupakah kita bahawa dunia ini hanya sementara??
“Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapak tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapaknya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (setan) memperdayakan kamu dalam (menaati) Allah.” (Surah Luqman : 33)
Di mana ketabahanmu saat dugaan menyapa jiwamu? Di mana sabarmu tika ujian melanda atmamu? Di mana kekuatanmu saat ombak derita cuba menghanyutkanmu dalam rendaman air mata semata-mata? Di mana kebergantunganmu pada Allah saat dunia mula menutup mata hatimu?
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) salat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk,” (Surah Al-Baqarah : 45)
Bila hati resah dan gelisah, ingatlah, kita punya Allah…
Bila jiwa mula bergelora dengan gundah-gulana, jangan kita lupa, Allah selalu ada…
Bila diri mula dihimpit rasa duka, ingatlah, kita ada Allah…
Bila dada terasa lemas dan sesak dengan asakan cinta dunia, ingatlah, Allah matlamat utama kita..
Jangan hanya di waktu susah kita mengingati-Nya..
Tapi, di waktu senang juga, jangan sesekali lupakan-Nya..
Susah senang diiringi dengan ingatan hanya pada-Nya..
Suka duka bersama-Nya..
Sabarlah kerana Allah..
Redalah dengan segala rencana Allah..
Syukurlah dengan segala aturan-Nya untuk kita..
Insya-Allah..
Mukmin yang kuat itu tidak ada dalam kamus hidupnya erti ‘putus asa’..!


Saturday, 24 March 2012

Hati ^_^





Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud: “Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah ayat 74)

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.


Kenapa hati mati? Hati mati disebabkan perkara berikut:
* Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.
Allah berfirman bermaksud: “Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Zumar ayat 22)

* Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud: “Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik.” (Surah al-Syura ayat 88-89)

Tanda-tanda hati mati
Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:
1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya. Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;
Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.


Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;
* Hubbul dunia (kasihkan dunia)
* Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
* Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.
Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;
*  Zuhud dengan dunia
* Zikrullah
*  Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.




Wednesday, 21 March 2012

Jasamu dikenang Seluruh ummat islam Di Dunia

salam alaik..

Bilamana melihat pada tarikh ini 22 MAC adalah tarikh yana amat berharga bagi ummat islam. Tarikh ini membuatkan ummat islam seluruh dunia sedih atas pemergian seorang Pejuang islam yang amat disayangi.beliau yang ana mksdkan ialah Syeikh Ahmad Yasin. Sebak bila membaca kata2 beliau, memangat jihat mula berkobar2.allahukbar!





Sheikh Ahmad Yassin telah dilahirkan di sebuah kampung bernama Al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon) pada tahun 1938. Beliau telah dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin,beliau dan keluarganya dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.

Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang di dalam pelajarannya beliau amat disayangi oleh guru-gurunya ketika berada di sekolah. Beliau juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif di zaman persekolahannya. Di zaman mudanya beliau telah ditimpa kemalangan, dimana beliau telah terjatuh ketika sedang beriadah yang menyebabkan beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya.
Keadaannya yang lumpuh itu tidak menghalang beliau untuk meneruskan kecemerlangannya di dalam bidang pelajaran dan juga aktiviti-aktiviti Islam. Pada tahun 1964 beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams di Kaherah. Pengajiannya di universiti tersebut walaubagaimanapun tidak sampai ke penghujungnya apabila beliau telah dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir kerana penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966. Lebih dahsyat lagi beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Ujian yang getir ini tidak sedikit pun membunuh semangatnya untuk terus bergerak aktif dalam pertubuhan tersebut untuk memperjuangkan Islam dan dakwah islamiyyah.
Kepulangannya ke Gaza telah menyaksikan bagaimana beliau bergerak aktif memperjuangkan Islam sebagai guru bahasa Arab dan juga khatib di masjid Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau telah menjadi terkenal di kalangan penduduk Gaza dengan khutbah-khutbahnya terutamanya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.
Selain daripada dua tugas utama tersebut, Semenanjung Gaza juga telah menyaksikan jasa Ahmad Yassin sebagai pekerja kebajikan dan juga pendakwah yang gigih mendidik anak-anak remaja dan para pemuda dengan didikan Islam. Hasil dari usaha tersebut sekitar tahun 1969 dan 1970 pertubuhan Ikhwan Muslimin telah berkembang hebat di kawasan Gaza. Hasilnya pada tahun 1973 dengan bantuan anggota pertubuhan tersebut, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberikan nama Mujamma al-Islam.
Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja. Memandangkan keadaan di Palestin lebih memaksa umat Islam di sana untuk berjihad, beliau dan beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai “Al-Mujahidun Al-Filastiniyyun” pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan “Kataib Syuyukh” yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan mereka. Bagi Ahmad Yassin kelumpuhan dirinya tidak menghalang dirinya dari usaha mendidik dan membina generasi mujahidin Palestin untuk berhadapan dengan penjajah Zionis yang telah menjajah bumi mereka dan juga Masjid al-Aqsa.
Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis diatas tuduhan memiliki senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel. Beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran tawanan di antara pihak PLO (Palestine Liberation Organization) dengan rejim Zionis, beliau telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.

Melihatkan kepada kondisi Negara-Negara Arab yang tidak lagi berminat untuk memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa, begitu juga dengan gerakan PLO yang semakin bersikap lunak terhadap rejim Zionis, Sheikh Ahmad Yassin dan juga rakan-rakannya di dalam pertubuhan Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan Islam yang dikenali sebagai 
HAMAS (Harakah Al Muqawamah Al Islamiyyah ) pada tahun 1987.
HAMAS telah memulakan corak baru penentangan cara baru, iaitu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari masjid-masjid dari kalangan orang-orang muda yang dikenali dengan nama “Atfal Hijarah”(Kanak-kanak Batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan tentera Zionis. Penentangan yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim Zionis ini dikenali sebagai “Intifadah”. Kesan dari “Intifadah” ini amat hebat, pihak tentera Zionis terpaksa mengambil tindakan-tindakan drastik sebagai tindak balas terhadap kemaraan gerakan HAMAS.
Sebagai natijahnya, pada bulan Ogos 1988 pihak tentera Zionis telah merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan Lebanon. Tidak cukup sekadar itu sahaja, pada 18/5/1989 beliau bersama ratusan anggota pergerakan HAMAS yang lain telah dipenjarakan kerana kejayaan operasi-operasi yang telah dilancarkan oleh gerakan tersebut dalam usaha membunuh tentera-tentera dan komando-komando Israel. Sekali lagi mahkamah tentera Israel pada 16/10/ 1991 telah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara ke atas Sheikh Ahmad Yassin di atas sembilan pertuduhan yang disabitkan ke atasnya, termasuk tuduhan membunuh, menculik dan juga menyerang tentera-tentera Zionis.
Kesan dari penahanan tersebut beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga hilang penglihatan mata kanannya dan juga kekaburan penglihatan pada mata kirinya selain daripada masalah pendengaran akibat tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya. Sepanjang tempoh itu juga beliau dihidapi jangkitan pada paru-parunya dan juga hidapan pada abdomennya. Keadaan kesihatannya yang semakin parah itu telah memaksa pihak penjara terpaksa membawanya berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Pada 13/12/1992 kumpulan komando HAMAS yang dikenali sebagai Kataib al-Qassam telah berjaya menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka menawarkan pertukaran di antara tentera tersebut dengan pembebasan Sheikh Ahmad Yassin dan beberapa tawanan HAMAS lain yang sakit dan yang telah berumur. Pihak rejim Zionis walaubagaimanapun menolak permintaan tersebut malah cuba menyerbu masuk ke rumah di mana tenteranya ditawan dengan harapan untuk membebaskannya. Percubaan mereka gagal, tentera Zionis yang ditawan itu mati dibunuh beserta dua tentera Zionis yang lain dan juga tiga pejuang Palestin telah mati syahid di tempat kejadian. Kejadian tersebut berlaku di Bir Nabala berdekatan dengan kota Baitul Maqdis.
Pada 1/10/1997, hasil dari perundingan pertukaran tawanan di antara kerajaan Jordan dengan rejim Zionis, Sheikh Ahmad Yassin telah berjaya dibebaskan. Kerajaan Jordan yang telah berjaya memberkas dua orang anggota perisikan rejim Zionis ketika mereka gagal dalam percubaan untuk membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mishaal di Amman, Jordan. Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik tersebut, pihak rejim Zionis telah bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh mendiang raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Sheikh Ahmad Yassin dibebaskan.
Sejurus pembebasannya Sheikh Ahmad Yassin kembali memainkan peranannya sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin dan juga semakin digeruni oleh rejim Zionis. September 2000 telah menyaksikan tercetusnya Intifadah kali kedua selepas perdana menteri rejim Zionis, Ariel Sharon telah mencemarkan Masjid al-Aqsa bersama 200 tenteranya. Sekali lagi Sheikh Ahmad Yassin telah berjaya membangkitkan rakyat Palestin untuk bangun berjuang menentang kegilaan rejim Zionis. Impaknya amat besar kepada rejim Zionis. Kerugian harta dan nyawa yang dialaminya adalah yang paling teruk dalam 50 tahun penubuhan Negara haram Israel. Penentangan berlaku tiap-tiap hari tanpa menunjukkan rasa menyerah kalah. Hasilnya pelbagai usaha dilakukan oleh pihak rejim demi mengekang kemaraan rakyat Palestin. Antaranya menyerang bandar-bandar, membunuh orang-orang awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang-pejuang Palestin dan pemimpin-pemimpin mereka.
Hasil dari kegilaan tersebut, beberapa pemimpin pejuang Palestin telah berjaya menemui syahid dibunuh oleh rejim Zionis dengan menggunakan jet-jet pejuang, helikopter dan juga kereta-kereta kebal mereka. Antaranya Salah Shahadah, Ismail Abu Shanab dan lain-lain lagi. Sheikh Ahmad Yassin juga tidak terlepas dari usaha jahat tersebut, seperti yang berlaku pada 6 / 9 / 2003 bilamana sebuah helikopter Apache milih tentera Zionis telah membedil dan merobohkan rumah Sheikh Ahmad Yassin, mujurlah beliau selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Begitu juga apa yang dialami oleh Abdul Aziz Rantisi, orang nombor dua HAMAS yang telah dibedil keretanya ketika beliau di dalam perjalanan.
Namun, pada subuh 22 / 3 / 2004, mereka sekali lagi menyerang Sheikh Ahmad Yassin ketika beliau dalam perjalanan pulang dari masjid setelah selesai solat subuh secara berjemaah. Tiga buah roket telah dilancarkan ke atas Sheikh yang lumpuh itu telah mengorbankan Sheikh Ahmad Yassin dan empat yang lain termasuk anaknya.
Walaupun Sheikh Ahmad Yassin telah tiada untuk membangkitkan semangat jihad, namun beliau telah meninggal roh jihadnya buat para pejuang yang cintakan Islam dan mahukan bumi Palestin dibebaskan.




Kata Syeikh Ahmad Yasin,

"Sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah mati(lumpuh), Aku bukan seorang penceramah yang lantang yang mampu menggegarkan semua tempat dengan suaraku(perlahan).

Aku tidak mampu untuk ke mana-mana tempat untuk memenhi hajatku kecuali jika mereka menggerakkan(kerusi roda) ku.

Aku, yang sudah beruban putih dan berada di penghujung umurku. Aku, yang di serang pelbagai penyakit dan di timpa berbagai penderitaan. Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang tertimpa ke atasku turut menimpa bangsa Arab hingga menjadikan mereka begitu lemah? Adakah kalian semua begitu wahai Arab, kalian diam membisu dan lemah, ataukah kalian semua telah mati binasa.

Adakah hati kalian tidak bergelora melihat kekejaman yang berlaku terhadap kami sehingga tiada satu kaum pun bangkit menyatakan kemarahan kerana Allah. Tiada satu kaum pun yang bangkit menentang musuh-musuh Allah yang telah mengistiharkan perang antarabangsa ke atas kami dan menukarkan kami daripada golongan mulia yang dianiaya dan dizalami kepada pembunuh dan penjenayah serta pengganas. Tidak adakah yang mahu di antara kalian, bangkit menentang musuh-musuh yang telah berjanji setia untuk menghancurkan dan menghukum kami.

Tidak malukah umat Islam ini terhadap dirinya yang dihina sedangkan padanya ada kemuliaan. Tidak malukah negara-negara umat Islam ini membiarkan penjenayah Zionis dan sekutu antarabangsanya tanpa memandang kami dengan pandangan yang mampu mengesat air mata kami dan meringankan bebanan kami.

Adakah pertubuhan-pertubuhan umat Islam ini, pasukan tenteranya, parti-partinya, badan-badannya dan tokoh-tokohnya tidak mahu marah kerana Allah dengan kemarahan sebenarnya lalu mereka keluar beramai-ramai sambil melaungkan, “Ya Allah, perkuatkanlah saudara-saudara kami yang sedang dipatah-patahkan, kasihanilah saudara-saudara kami yang lemah ditindas dan bantulah hamba-hambaMu yang beriman!

Adakah kalian tidak memiliki kekuatan berdoa untuk kami? Seketika nanti kalian akan mendengar mengenai peperangan besar ke atas kami dan ketika itu kami akan terus berdiri dengan tertulis di dahi kami bahawa kami akan mati berdiri dan berdepan dengan musuh, bukan mati membelakang(melarikan diri dari musuh)dan akan mati bersama-sama kami, anak-anak kami, wanita-wanita, orang-orang tua dan pemuda-pemuda.

Kami jadikan di kalangan mereka sebagai kayu bakaran buat umat yang diam dalam kebodohan! Janganlah kalian menanti hingga kami menyerah atau mengangkat bendera putih kerana kami telah belajar bahawa kami tetap akan mati walaupun kami berbuat demikian(menyerah). Biarkan kami mati dalam kemuliaan sebagai mujahid.

Jika kalian mahu, marilah bersama-sama kami sedaya mungkin. Tugas membela kami terpikul di bahu kalian. Kalian juga sepatutnya menyaksikan kematian kami dan menghulurkan simpati. Sesungguhnya Allah akan menghukum sesiapa sahaja yang lalai daripada menunaikan kewajipan yang diamanahkan.

Dan kami berharap kepada kalian supaya jangan menjadi musuh yang menambah penderitaan kami. Demi Allah, jangan menjadi musuh kepada kami wahai peminpin-pemimpin umat ini, wahai bangsa umat ini.

Ya Allah, kami mengadu kepadaMu… kami mengadu kepadaMu.. kami megadu kepadaMU… kami mengadu kepadaMu lemahnya kami dan kurangnya helah kami. Demikianlah kami di hadapan manusia. Engkaulah tuhan kepada orang-orang yang lemah. Dan Engkaulah Tuhan kami. Kepada siapa Engkau tinggalkan kami. Adakah kepada orang yang jauh yang akan menyerbu kami. Ataukah kepada musuh yang berkuasa ke atas kami?

Ya Allah, kami mengadu kepadaMu darah-darah yang tertumpah, maruah yang ternoda, kehormatan yang diperkosa, kanak-kanak yang diyatimkan, wanita-wanita yang di jandakan, ibu-ibu yang kehilangan anak, rumah-rumah yang diruntuhkan, tanaman-tanaman yang dirosakkan.

Ya, Allah, kami mengadu kepadaMu, berseleraknya kesatuan umat kami, berpecahnya perpaduan kami, berbagai-bagainya jalan kami, terkebelakangnya kami.

Kami mengadu kepadaMu betapa lemahnya kaum kami, betapa tidak bermayanya umat di sekeliling kami dan betapa berjayanya musuh-musuh kami….”



wallahualam

Hijrah Memerlukan Pengorbanan


Lelaki Bosnia berjalan kaki ke Mekkah menunaikan Haji...

Demi memenuhi salah satu rukun Islam yang ke lima . Seorang lelaki Bosnia telah memulakan perjalanan untuk menunaikan haji dan mempersiapkan diri untuk menyeberang ribuan batu dengan berjalan kaki. Laporan daripada The Muslim Village portal pada Khamis Mac 15 yang lalu.

“Jujur saja sebelum saya memulakan perjalanan ini semua orang bimbang terhadap saya menanyakan bagaimana saya, sebagai seorang Muslim boleh memulakan perjalanan meskipun melalui negara-negara Kristian seperti Serbia dan Bulgaria” kata Senad Hadzic 47 tahun.

Bercita-cita untuk melakukan haji iaitu pada akhir Oktober nanti Hadzic akan berangkat untuk melakukan perjalanan panjangnya dari kampung halamannya di utara Bosnia pada Disember 2011.

Jaraknya kira-kira 3600 batu dari Bosnia ke Mekah dan ia akn menempuh di antara 12 hingga 20 batu setiap hari.

Dalam beg di belakangnya ia membawa mushaf Al-Qur’an dibungkus dalam plastik untuk melindunginya dari cuaca yang tak menentu.

Dia juga membawa peta dan bendera dari enam negara yang akan diseberanginya. Dia telah berjalan sejuah 600 batu setakat ini dan tentunya menghadapi bermacam-macam masalah.

Di Istanbul contohnya dia terkandas selama 20 hari dan berusaha untuk mendapatkan kebenaran untuk berjalan menyeberangi Jambatan Bosphorus yang menghubungkan Eropah ke Asia yang terbuka hanya untuk kenderaan.

Pada akhirnya berjaya ia memutuskan untuk meneruskan perjalanan menuju Makkah walaupun tanah Syria sedang bergolak.

“Saya akan memberitahu anda bahawa perjalanan ini telah mempunyai berjuta-juta masalah” kata Hadzic.

“Saya akan menjelaskannya kepada anda seperti ini: Insya Allah, saya akan masuk Asia hari ini, dan kemudian Syria. Dan saya tidak takut tank atau peluru, hanya Allah. Dan apabila saya boleh sampai ke Makkah dan saya akan berdoa untuk kita semua.”

Jutaan Muslim dari seluruh dunia berkumpul di Mekah setiap tahun untuk menunaikan haji, salah satu daripada lima rukun Islam. Setiap Muslim dewasa yang berbadan sihat dan yang secara kewangan mampu membayar perjalanan haji wajib melakukan tuntutan ini sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.

Setelah berjalan melalui pelbagai negara, Hadzic mendapat banyak pengalaman dan menerima banyak kebaikkan daripada banyak orang.

“Ada seorang tua bijaksana Turki muncul dan ketika ia tahu bahawa saya datang dari Bosnia ke Istanbul dengan berjalan kaki maka ingin memberika saya duit supaya saya naik di dalam pesawat dan terus ke Makkah untuk haji” kata Hadzic.

“Tapi saya saya menolaknya.” Musafir dengan bekalan duit yang sedikit, Hadzic mengatakan dia sangat menghargai pada kebaikan orang asing dalam perjalanan panjangnya.

“Di Serbia orang keluar di jalan dan memberi saya topi atau kaus kaki” kata Hadzic.

“Dalam satu cerita seorang profesor di Serbia mengundang saya untuk tinggal di rumahnya. Ini profesor Serbia yang beragama Kristian mengatakan kepada saya bahawa saya adalah muslim pertama yang melangkah di rumahnya dalam hidupnya. Ini adalah kehormatan besar bagi saya.”

Hadzic mengatakan ia harus melakukan perjalanan dengan berjalan kaki kerana Allah membantunya dalam mimpi melihat perjalanan ini sebagai manfaat untuk dirinya sendiri dan semua orang yang ditemuinya.

“Dengan Langkah ini saya membuktikan bahawa semua yang saya lakukan adalah kerana kasih saya kepada Allah” kata Hadzic.

“Demi apapun yang ada di dunia saya tidak akan menghentikan apa yang saya lakukan.” Meskipun belum setengan jalan namun banyak hal yang telah Hadzic pelajari.

“Pengalaman yang paling beharga yang saya dapat ialah, belajar erti ‘berterima kasih’ dan bersyukur dengan apa yang ada. Orang-orang miskin yang tinggal di luar bandar mencintai Allah dan menyokong saya dengan kemurahan hati” kata Hadzic.
















.:. salam perkongsian .:.